|||Laman blog rasmi SMK Bachok:: emel: smkbachok@gmail.com :: Tel: 097788255|||

29 June 2009

Amaran Kesihatan Mengenai Wabak Penyakit Influenza A (H1N1) Untuk Semua Sekolah


Amaran Kesihatan Mengenai Wabak Penyakit Influenza A (H1N1) Untuk Semua Sekolah

Kenyataan Akhbar


1. Sepertimana kita sedia maklum, bilangan kes yang telah disahkan positif jangkitan penyakit Influenza A (H1N1) telah meningkat di negara kita. Pada 22 Jun lalu sebanyak empat (4) kes pertama yang melibatkan murid sekolah telah di kesan di beberapa buah sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor. Dua buah sekolah iaitu SJKC Jalan Davidson, Kuala Lumpur dan SK Asunta 2, Petaling Jaya telah diarahkan tutup selama seminggu.

2. Manakala murid-murid di dua buah sekolah di negeri Selangor iaitu SMK Seksyen 9 dan SMK Damansara Utama di mana seorang daripada rakan di dalam kelas mereka telah disahkan dijangkiti Influenza A (H1N1), dan telah mendapat rawatan di hospital. Walaubagaimanapun kedua-dua buah sekolah ini tidak ditutup.

3. Kementerian Pelajaran Malaysia ingin mengambil kesempatan ini untuk meyakinkan kepada semua ibubapa supaya tidak panik kerana langkah-langkah proaktif yang diambil ini adalah merupakan langkah berjaga-jaga. Apa sahaja tindakan yang diambil oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia adalah dengan nasihat Kementerian Kesihatan yang sentiasa membantu dengan memberi khidmat kepakaran mereka dalam menangani kes ini di sekolah-sekolah.

4. Pada kesempatan ini sekali lagi saya ingin ingatkan kepada semua Guru Besar dan Pengetua sekolah supaya mengambil tindakan berikut dengan segera bagi memastikan Influenza A (H1N1) tidak menular di sekolah-sekolah:

Sekolah diminta memantau setiap hari jika terdapat tanda-tanda penyakit seperti demam panas dan selsema pada diri pelajar dan warga sekolah hendaklah segera dirujuk kes kesihatan mereka ke hospital dengan segera ;

Sekiranya pelajar/ warga sekolah disahkan telah dijangkiti penyakit Influenza A (H1N1) maka tindakan berikut hendaklah diambil:
- merujuk kepada hospital terdekat untuk tindakan ‘kuarantin’;
- hubungi keluarga pelajar/ warga sekolah berkenaan;
- membantu pihak hospital untuk mengenalpasti orang-orang yang pernah berhubung dengan pesakit berkenaan.
- Menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran.

5. Bagi menangani isu ini semua sekolah hendaklah memastikan persekitaran sekolah sentiasa bersih, terutamanya tandas, bilik darjah, kantin, asrama dan sebagainya. Langkah sesetengah sekolah mengambil inisiatif menjalankan pemeriksaan suhu badan pelajar/warga sekolah adalah digalakkan.

6. Adalah dimaklumkan bahawa semua aktiviti sekolah termasuk aktiviti kokurikulum hendaklah dijalankan seperti biasa.


Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd. Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Putrajaya, 22 Jun 2009





Maklumat Lanjut :
Kementerian Pelajaran Malaysia


dipetik daripada Laman Kem.Pelajaran. Malaysia

0 comments: